CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday 19 July 2009

Ulul Albab: Israk Mikraj pedoman umat pertahan hak


Oleh Abdurrahman Haqqi

Berpegang teguh dengan Islam walaupun ditindas kerana segala kesukaran pasti berakhir

TAHLIL adalah pengucapan kalimah 'La ilaha illallah', tahmid pula mengucap kalimah 'Alhamdulillah' dan tasbih ialah mengucap 'Subhanallah'.

Pengucapan kalimah terakhir itu bertujuan menunjukkan rasa takjub terhadap sesuatu, manakala Alhamdulillah pula bagi menunjukkan syukur. Kalimah pertama 'La ilaha illallah' dilafazkan bagi menunjukkan ketauhidan atau keesaan Allah SWT. Subhanallah yang bererti Maha Suci Allah pula lafaz doa dan zikir yang mempunyai banyak manfaat antaranya berat timbangan kebaikan walaupun ia hanya satu lafaz mudah seperti dinyatakan dalam hadis.


Dalam ajaran Islam, lafaz ini menunjukkan kesucian Allah SWT dari segala kekurangan dan ucapan menunjukkan kesempurnaan-Nya.

Di samping huruf potong (muqatta'at) seperti alif lam mim, surah al-Quran juga banyak dimulai dengan perkataan 'sabbaha' (3 surah: al-Hadid, al-Hasyr dan al-Saff), 'yusabbihu' (2 surah: al-Jumu'ah dan al-Taghabun) dan 'subhana' (1 surah: al-Isra') yang mempunyai pengertian mengucap tasbih.

Sebagai contoh, permulaan surah al-Hadid (besi) maksudnya: "Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah SWT dan Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."

Permulaan surah al-Jumu'ah (Jumaat), contoh lain yang bermaksud: "Segala yang ada di langit dan di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekian alam), Yang Maha Suci lagi Maha Bijaksana."

Ketika mengkisahkan perjalanan Israk Mikraj junjungan besar kita, al-Quran memulakan ceritanya menggunakan kata dasar 'subhana' tidak seperti kedua-dua surah di atas yang menggunakan kata kerja. Mengapa? Wallahu a'lam.

Pada awal surah al-Israk (perjalanan ketika malam) Allah SWT berfirman maksudnya: "Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang sudah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Israk: 1)

Jika dalam permulaan lima surah lain difokuskan edisi bahasanya pada 'tetap mengucap tasbih' dan 'sentiasa mengucap tasbih,' maka dalam surah al-Israk yang ditekankan ialah 'Maha Suci Allah.'

Bagi kelima-lima surah berkenaan, fokus pembicaraan ialah makhluk yang mengucap tasbih kerana sifat Allah SWT, manakala surah al-Israk fokusnya pada kudrat Allah SWT yang sudah menggerakkan hamba-Nya melakukan perjalanan pada malam yang sangat dahsyat sehingga menjadi mukjizat di samping mukjizat abadi al-Quran al-Karim, kerasulan Muhammad SAW.

Peristiwa Israk Mikraj ialah mukjizat. Oleh itu, tiada alasan menolak hakikatnya dengan roh dan jasadnya kerana peristiwa Israk Mikraj agung bukan atas usaha ikhtiar Nabi SAW, sebaliknya Baginda menghebahkan kepada orang ramai sudah 'diisrak dan dimikrajkan' oleh Allah SWT bersama malaikat Jibril. Kenderaan yang disediakan oleh Allah SWT bernama buraq yang dicipta daripada cahaya.

Buraq kenderaan khusus untuk suatu pengembaraan Nabi SAW dalam peristiwa bersejarah 'diisrak dan dimikrajkan' ke langit. Ini bermakna Israk Mikraj ialah peristiwa di luar kemampuan Nabi SAW untuk melakukannya, sebaliknya ia dikehendaki Allah SWT berlaku ke atas Nabi SAW dengan dibantu malaikat Jibril. Antara sebab berlaku peristiwa Israk Mikraj pada tahun ke-11 kenabian Baginda SAW ialah penolakan penduduk Makkah dan Taif terhadap ajaran Islam yang dibawa Baginda.

Seperti kita ketahui, dalam 11 perjalanan dakwah itu, Baginda mengalami pelbagai cabaran dan rintangan daripada kaumnya sehingga memutuskan pergi ke kota Taif untuk berdakwah dan mencari bantuan.

Malangnya, di Taif Baginda menerima cabaran dan rintangan lebih dahsyat daripada di Makkah. Baginda dilontar batu, pelepah kurma, selipar bahkan kotoran oleh penduduk Taif sehingga malaikat bukit memohon kebenaran Baginda untuk menghancurkan penduduk Taif dengan membenam mereka ke dalam bumi.

Dengan sifat kasih sayangnya, Baginda tidak rela berbuat demikian, malah mengucapkan doa masyhur 'Allahummahdi qaumi fainnahum la ya'lamun' (Wahai Allah, berikanlah petunjuk kepada umatku kerana mereka adalah kaum yang belum mengetahui apa-apa).

Baginda akhirnya kembali ke Makkah dan menerima hakikat manusia tidak boleh diharapkan untuk diminta pertolongan kecuali meminta kepada Allah SWT.

Selepas itu berlaku pemulauan yang tidak perikemanusiaan dalam bidang ekonomi, sosial dan politik terhadap Baginda dan pengikut, khasnya keluarga bani Hashim oleh puak Quraisy sehingga seolah-olah mereka tidak wujud di muka bumi ini walaupun mereka sebenarnya pemimpin terkemuka di kalangan bangsa Arab.

Tidak lama selepas itu, dua tonggak utama kehidupan Baginda selama ini iaitu Siti Khadijah, (isteri) dan Abu Talib, (bapa saudara) meninggal dunia. Tahun itu dikenali sebagai tahun dukacita, 'Am al-huzn.

Sesuai dengan janji Allah SWT kepada Baginda SAW pada permulaan dakwah dalam al-Quran bermaksud: "(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkan kamu dan Dia tidak benci (kepadamu, seperti yang dituduh oleh kaum musyrik)," (Surah al-Duha: 3), maka tiba masanya menunjukkan kepada manusia walaupun Baginda tidak diterima penduduk dunia, maka penduduk langit menerimanya.

Terjadi peristiwa Israk Mikraj sebagai bukti kesulitan yang selama ini melekat pada diri Baginda ketika berdakwah, ada masa untuk berakhir di samping ada pula kemudahan.

Pada hari ini, umat Islam sebagai pembawa agama Islam masih bergelumang kehinaan. Ke mana mereka pergi dan di mana mereka berada, masih dianggap menggugat keselamatan.

Mereka dibunuh walaupun masih dalam perbicaraan mahkamah dan pembunuhnya turut dicadangkan untuk menerima anugerah pingat kebesaran The Cross of Honor oleh kerajaan seperti yang berlaku terhadap Marwa al-Sharbiny di Jerman, awal bulan ini.

Begitu juga saudara kita di Xinjiang, China, yang wilayahnya satu per enam China dan kota minyak kedua terbesar masih dibayangi ketidakadilan pihak berkuasa negara mereka sehinggakan ada yang berasa tertindas di tanah asal mereka yang membawa kepada rusuhan minggu lalu.

Banyak lagi kejadian yang membuat hati kita sebagai pengikut Nabi SAW berasakan seperti dirasai Baginda dan sahabat. Bahkan seolah-olah ia baru berlaku semalam walaupun kejadiannya sudah berlaku lebih 1430 tahun lalu.

Bagaimanapun, sebagai orang beriman kita jangan berasa terhimpit sejengkal pun kerana setiap keadaan pasti berubah. Sebaik-baik ibadat ialah menanti kemudahan dengan sabar biarpun hari terus berganti. Pasti yang ghaib tetap tersembunyi dan Allah SWT tetap pada keadaan dan sifat-Nya.

Allah SWT mungkin menciptakan sesuatu yang baru selepas itu. Selepas lenyap kesukaran, tetap muncul kesenangan. Insya Allah.

Saturday 11 July 2009

Fotografi & Islam

MELALUI gambar kita cepat mengenali seseorang, le bih-lebih lagi dari sudut wajah yang bukan saja memantulkan ketampanan dan keayuan, malah melukiskan watak serta sikap individu terbabit.

Bagi sesetengah pihak seperti selebriti dan ahli politik, gambar memainkan peranan penting khususnya dalam me raih populariti, tetapi pada masa sama, gambar juga men jatuhkan maruah seseorang dalam sekelip mata.

Secara umum gambar adalah satu medium komunikasi yang sangat berpengaruh dan kerana itu hari ini kita dibanjiri dengan pelbagai jenis dan bentuknya, termasuk yang bersifat fitnah, kurang sopan dan berunsur lucah.

Bagaimanapun, Islam mengharamkan gambar kurang sopan dan berunsur lucah, tidak kira ia datang dalam bentuk apa sekali pun, sama ada hasil daya kreativiti melalui kemahiran tangan, media cetak mahupun elektronik.

Tetapi apakah pengharaman mengenainya terhenti setakat itu saja?

Bagaimana dengan yang lain, misalnya gambar dihasilkan melalui teknik fotografi, lukisan potret, anak patung mainan dan ukiran berupa makhluk?

Al-Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan hadis daripada Aisyah r.a yang berkata: “Rasulullah s.a.w kembali dari pelayaran dan saya menutup sehelai kain di dinding yang padanya ada gambar lukisan.

“Apabila Rasulullah s.a.w melihat gambar itu, serta-merta bertukar warna wajahnya, lalu berkata: ‘Wahai Aisyah! Se berat-berat seksa yang diterima oleh seseorang daripada Allah pada hari kiamat ialah orang yang cuba meniru rupa makhluk Allah.’

“Selepas mendengar ancaman Rasulullah itu saya pun mengambil kain lukisan itu dan saya potong-potongkan untuk dijadikan kain alas bantal.”

Menurut Abdullah Nasih Ulwan dalam buku Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, hadis terbabit menunjukkan peng haraman gambar dan patung, sama ada ia berbentuk, ber bayang, dibuat untuk diagungkan atau tidak kerana semua itu penyerupaan dengan penciptaan Allah.

Cuma, katanya, yang dikecualikan daripada gambar tadi iaitu melukis gambar seperti pohon dan rumah iaitu yang tiada roh padanya.

Ini sebagaimana diriwayatkan al-Bukhari daripada Said bin Abul Hasan, katanya: “Pernah pada suatu hari aku berada di majlis Ibnu Abbas r.a, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki lalu berkata: ‘Hai Ibnu Abbas! Sesungguhnya aku ini, mata pencarianku daripada kerja seni tanganku dan aku membuat gambar-gambar dan patung-patung itu, apa ka tamu?’

Lalu Ibnu Abbas menjawab kepada orang yang bertanya itu: “Aku tidak akan memberitahumu melainkan apa yang aku sendiri mendengar daripada Rasulullah s.a.w sebagai ja wapanku.

“Aku mendengar baginda berkata: ‘Sesiapa yang meng gambar suatu gambar (patung yang berjisim), sesungguhnya Allah akan menyeksanya sehingga dia dapat meniupkan roh padanya sama sekali.’”

Mendengar jawapan Ibnu Abbas, orang itu kelihatan sangat gelisah kerana tidak senang mendengar jawapan terbabit dan berasa tersinggung.

Ibnu Abbas berkata lagi kepadanya: “Celaka engkau! Ki ranya engkau mesti menggambarkan atau melukis juga, buatlah gambar-gambar pepohon, gambar pemandangan dan apa saja gambar yang tidak mempunyai roh.” (Hadis riwayat Bukhari)

Menurut Abdullah, dibenarkan juga daripada jenis patung permainan untuk kanak-kanak kerana tiada padanya tujuan untuk mengagungkan atau menimbulkan bangga diri dan sombong.

Ini sebagaimana diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim da ripada Aisyah, Ummul Mukminin r.a yang berkata: “Dahulu pernah aku bermain anak-anak seperti juga anak-anak pe rempuan yang lain di sisi Rasulullah s.a.w.

“Kemudian datang kepadaku teman-temanku dan mereka sentiasa bersembunyi daripada Rasulullah s.a.w kerana takut kepadanya, padahal Rasulullah berasa gembira melihat me reka datang untuk bermain-main denganku.”

Di dalam riwayat Abu Daud pula, Nabi s.a.w berkata kepada Aisyah suatu hari: “Apa ni?” Jawab Aisyah: “Ini anak-anak perempuanku.” Kata baginda lagi: “Apa yang di tengah-te ngah ini?” Jawabnya: “Kuda.”

Tanya baginda: “Apa ini yang di atasnya?” Jawabnya: “Dua kepak.” Kata baginda: “Kuda ada dua kepak?” Jawabnya: “Apakah kau tidak pernah dengar yang (Nabi) Sulaiman bin Daud ada kuda yang berkepak?”

Nabi s.a.w pun ketawa geli hati, sehingga kelihatan gigi-gigi gerahamnya.”

Asy-Syaukani berkata: “Ternyata dari hadis ini ada dalil yang membolehkan kita memberikan anak-anak kecil patung permainan yang berupa, umpamanya bentuk pengantin suami isteri.”

Tetapi Imam Malik meriwayatkan pula, makruh bagi orang lelaki membelikan anak patung untuk anak perempuannya.

Al-Qadhi Iyadh berkata: “Bermain anak patung yang ber bentuk anak perempuan untuk anak perempuan adalah harus.”

Abdullah berkata, antara hal yang menarik perhatian kita, apabila gambar ini bertujuan bukan untuk dibesar-besarkan dan tidak sempurna bentuknya, ia halal dan boleh di manfaatkan.

Mengenai gambar dengan alat fotografi, iaitu kamera, beliau mengatakan secara menyeluruh termasuk dalam nas yang mengharamkan, melainkan gambar yang wajib dan memang ketara kebaikannya.

Ini seperti gambar untuk kad pengenalan, pasport, gambar orang jahat dan orang yang dituduh disebabkan semua ini termasuk dalam kaedah umum yang mengatakan darurat itu mengharuskan yang dilarang.

Bagi Pensyarah Kanan di Institut Islam Toronto, Ontario, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, fotografi sebagai medium komunikasi tidak jatuh dalam kategori gambar yang di larang.

Menurutnya, Nabi s.a.w memang mengutuk orang yang membuat gambar dan ukiran yang melambangkan patung kerana ia membawa kepada syirik, selaras dengan kaedah usul fiqah (prinsip perundangan Islam) sesuatu yang membawa kepada haram ia adalah haram.

Tetapi, katanya, fungsi fotografi hari ini tidak jatuh kepada kategori terbabit, malah sesetengah ulama yang dahulunya mengecam keras fotografi kemudian menukar posisi terhadap hukum berkenaan.

“Malah, mereka juga membenarkan gambar mereka diambil untuk disiarkan dalam akhbar, syarahan melalui rakaman video dan pembentangan.

“Sebelum ini mereka hanya membenarkan dalam kes pengecualian seperti urusan pasport, lesen memandu dan sebagainya.

“Perubahan pandangan mereka terhadap fotografi adalah berasaskan penilaian mereka ke atas peranan fotografi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, seseorang tidak boleh membuat kenyataan yang semua fotografi adalah halal (dibenarkan).

“Ia bergantung kepada penggunaan dan fungsinya. Jika ia untuk tujuan pendidikan serta tidak dicemari dengan tujuan sanjungan dan penyembahan, ia tidak dilarang,” katanya.

Sementara itu, menurut Dr Yusuf al-Qardhawi, melalui bukunya Halal dan Haram Dalam Islam, menghasilkan gambar dengan alat fotografi (kamera), yang paling dekat dengan jiwa syariat Islam dalam permasalahan ini ialah dibolehkan dan jika tidak pun hukumnya jatuh makruh.

“Itupun kalau gambar yang diambil tidak termasuk gambar yang diharamkan oleh Islam seperti gambar yang me nampakkan tempat sulit kaum wanita atau lelaki yang boleh menimbulkan fitnah atau menggambarkan lelaki sedang bercium-ciuman dengan wanita atau seumpamanya,” katanya.

Tazkirah Remaja: Solat dan lima jenis manusia

SUDAH lama kita bersolat, tetapi nampaknya keajaiban dan jaminan solat yang disebut Allah masih samar-samar dalam kehidupan kita.

Allah memberi jaminan dalam firman-Nya, bermaksud: “Sudah pasti berjaya orang mukmin iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun: 1,2)

Pada pertemuan kali ini, penulis mengajak remaja dan siapa saja bermuhasabah mengenai peringkat solat.

Bukannya konsep kejayaan dan cara hendak mencapai khusyuk, tetapi ada beberapa jenis dan golongan serta gaya bersolat di kalangan orang Islam yang semuanya akan mempengaruhi perangai dan cara hidup.

* Jenis Pertama

Hari ini, ramai umat Islam yang tidak bersolat, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak bersolat. Ada yang menafikan kewajipan solat, mereka jatuh kafir sebab itu kadangkala perangainya dengan si kafir tidak ada beza.

* Jenis Kedua

Orang yang melakukan solat secara zahir saja, malah bacaan pun masih tidak betul, taklid buta dan main ikut-ikut orang lain.

Jadi, golongan ini sekejap bersolat, sekejap tidak. Jika ada masa dan emosi baik, dia bersolat. Kalau sibuk dan ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, dia tidak bersolat.

Orang ini jatuh fasik. Tidak belajar solat mahupun secara rasmi atau tidak rasmi. Ilmu mengenai solat ialah apa yang dipelajari ketika kecil dan tadika saja. Golongan ini tertolak, bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah.

* Jenis Ketiga

Golongan yang melakukan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan solat, Fatihah, doa Iftitah dan tahiyatnya, tetapi tidak dihayati dalam solat itu.

Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia tanpa menghayati solat. Golongan ini dikategorikan sebagai solat ‘awamul Muslimin’ dan jika dididik serta ditambah mujahadah (kesungguhan), dia akan berjaya dalam solat.

* Jenis Keempat

Golongan ini baik sedikit daripada golongan sebelumnya, tetapi main tarik tali dalam solatnya.

Sesekali dia khusyuk, sesekali lalai pula. Apabila teringat sesuatu dalam solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya.

Apabila teringat Allah secara tiba-tiba, insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hati serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimah dan bacaan dalam solat. Begitulah sehingga selesai solatnya.

Peringkat ini orang terbabit akan mula memasuki zon ‘memelihara solat’, tetapi masih belum seronok dengan solat.

* Jenis Kelima

Golongan yang melakukan solat tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz dalam solatnya.

Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling sehingga pekerjaan serta apa pun yang dilakukan atau difikirkan di luar solat itu tidak mempengaruhi so latnya.

Walaupun dia memiliki harta dunia, menjalankan kewajipan dan tugas keduniaan seperti perniagaan, semua itu tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah dalam solat. Golongan ini disebut orang soleh.

Sebenarnya banyak lagi peringkat solat, tetapi keterbatasan ruangan sekadar lima tahap ini rasanya sudah boleh mu hasabah diri mengenai tahap solat yang kita lakukan.

Jika kita berada di peringkat satu, dua dan tiga, kita sebenarnya belum selamat dan mungkin solat tidak mampu mendapat jaminan Allah.

Ibadat solat boleh membangunkan jiwa dan iman, men jauhkan daripada yang buruk dan merungkai mazmumah (sifat keji), menanamkan mahmudah (sifat terpuji), me lahirkan disiplin hidup dan akhlak yang agung. Semoga solat kita akan berlangsung sebagai mi’raj.