CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday 2 October 2009

Ajal datang pelbagai cara, tanpa mengira masa



GEMPA bumi di Padang, Sumatera Barat, Indonesia yang menyebabkan lebih seribu manusia terkorban, diikuti gegaran di Jambi, tsunami melanda Samoa, Amerika, taufan Ketsana di Vietnam dan bermacam bencana berlaku sebelum ini, adalah antara punca kematian umat dunia. Ajal tidak mengenal masa, usia dan tempat. Ada bencana yang boleh diduga tetapi tidak ada siapa yang mampu mengelakkan kehadirannya. Di kawasan yang berisiko tinggi, penduduknya sentiasa hidup di ambang maut. Aceh yang dilanda tsunami terus didiami dan dimajukan semula. Di Jepun, kawasan yang dilanda gemba bumi sebelum ini terus berpenghuni.

Dalam sejarah bencana, ramai manusia mati akibat ribut taufan yang menerbangkan segala benda dan merobohkan bangunan. Taufan mampu mencabut pokok dan menghempap sesiapa saja. Disebabkan di mana-mana saja di bumi ini, ada saja manusia, maka setiap peristiwa, ada kematian. Ada yang mati akibat banjir, kemarau berpanjangan, tanah runtuh, tanah jerlus dan sebagainya. Ada juga yang mati akibat bangunan roboh. Disebabkan ramai manusia tinggal di rumah bertingkat, kematian akan membabitkan kumpulan manusia. Tragedi Highland Towers adalah satu contoh di negara ini. Kematian beramai-ramai adalah satu tragedi.

Tidak ramai orang yang gemar berbicara soal mati. Ada orang yang terlalu takut untuk mati dan ada pula orang yang bersikap sebaliknya. Orang yang takut mati akan menjaga keselamatan dirinya manakala orang yang berani mati, sengaja menempah maut. Bagi mereka yang takut kepada kematian, apabila sakit sikit saja, cepat-cepat mendapatkan rawatan. Mereka bertarung untuk pulih dan sanggup dilakukan apa saja oleh doktor sewaktu rawatan di hospital. Bagi yang berani mati, mereka sanggup mengambil risiko ke atas diri mereka. Mereka tahu menghisap tembakau boleh menyebabkan barah paru-paru dan sebagainya, tetapi mereka tidak sedikit pun gentar. Letaklah apa juga gambar yang menakutkan pada kotak rokok, 'hisap tetap hisap'. Manusia juga menggunakan dadah atau minum arak, yang terbukti memberi kesan buruk kepada ketahanan tubuh mereka. Di jalan raya, mereka memandu dengan laju tanpa memikirkan nyawa mereka sentiasa berada di hujung tanduk. Walau pun tahu kesan dan akibatnya. Mereka tetap melakukannya atas alasan 'seronok' walaupun banyak bukti kemalangan berlaku di depan mata. Tindakan mereka ini tidak ada bezanya dengan sikap manusia yang sanggup membunuh diri. Ada pelbagai cara untuk melenyapkan diri dari bumi ini. Ada yang menggantung diri, makan racun dan paraquat atau melakukan apa saja perbuatan yang boleh membunuh - terjun bangunan, gantung diri, tidur di rel kereta api, menembak diri dan sebagainya. Ada juga yang sanggup meletupkan dirinya atau melakukan kerja yang kononnya untuk berjihad. Mereka melilitkan bom di badan dan kemudian meletupkan dirinya di khalayak dengan tujuan untuk membunuh musuh. Ada yang merampas pesawat udara dan bertindak merempuh bangunan untuk membunuh penumpangnya dan dengan mereka sekali. Mereka mati katak.

Ada yang mati dalam peperangan berikutan pertikaian dua pihak. Dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua serta pelbagai peperangan di dunia ini sejak zaman dulu kala, ratusan ribuan manusia, malah jutaan manusia terbunuh hanya kerana ego, tindakan peluasan wilayah, mencari kekayaan, perbezaan fahaman dan perebutan sempadan atau kuasa. Jika dulu bertarung menggunakan pedang, lembing, panah, keris dalam masyarakat Melayu, pistol dalam masyarakat koboi dan sebagainya, tetapi dalam dunia moden mereka menggunakan senjata kimia atau nuklear yang mampu membunuh lebih ramai manusia dalam sekelip mata. Mereka yang terbunuh turut membabitkan orang awam. Ada yang cacat dan terus hidup walaupun ada antaranya rela untuk mati.


Banyak kematian turut berpunca daripada nahas. Ada yang mati akibat pesawat udara terhempas, kapal karam atau kereta api tergelincir. Kematian seperti ini tidak dirancang kerana ia berlaku secara tiba-tiba.

Ramai juga manusia mati akibat wabak penyakit. Terbaru adalah serangan wabak selesema babi (H1N1) yang menyebabkan orang yang tersayang, tiba-tiba meninggal dunia. Begitu juga dengan demam denggi berdarah. Namun, nyamuk dibenarkan terus membiak. Sebelum ini, wabak taun begitu ditakuti kerana ia boleh membunuh. Ramai juga mati akibat menghidap Aids kerana melakukan perbuatan terlarang.

Dalam akhbar setiap hari, didedahkan dengan pelbagai jenis kematian. Selain kemalangan di jalan raya, kematian berpunca daripada bencana rumah terbakar menyebabkan mangsanya rentung, lemas di laut, sungai, lombong atau paya, disambar kilat, ditimpa pokok tumbang dan sebagainya. Ada juga yang terkorban akibat perbuatan jenayah. Disebabkan mempertahankan sedikit harta, nyawa melayang. Kebelakangan ini pula, kejadian jenayah yang menyebabkan kematian, seolah-olah memberi gambaran manusia sudah kehilangan pertimbangan. Ibu dan anak ditetak berpunca perkara yang terlalu kecil. Ada juga manusia yang mati akibat membunuh diri. Bagi golongan ini, nyawa tidak ada nilainya. Akibat putus asa, putus cinta atau sesuatu sebab, mereka sanggup mengambil keputusan nekad untuk menamatkan riwayat hidupnya sendiri.

Di kampung ada berita orang mati akibat lemas di lombong tinggal atau jatuh dari pokok reput. Di bandar, ada manusia yang terbunuh akibat terjatuh bangunan. Ia mungkin ditolak, atau sebagainya. Mungkin suasana di kampung dan di bandar berbeza, cara kematian penghuninya juga berbeza.